SUNGAI BULOH – Parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC tidak pernah dipinggirkan dan akan terus kekal menjadi rakan dalam gabungan terbabit.
Menegaskan perkara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu akan akan terus mengekalkan semangat setiakawan dan penghormatan terhadap parti terbabit yang setia bersama sejak penubuhannya.
Jelasnya, MCA dan MIC bukan sahaja diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi-kerusi tradisi malah terus dihormati sebagai rakan kongsi yang memainkan peranan penting dalam BN.
“MCA, misalnya, kekal menerima kerusi-kerusi tradisi majoriti Melayu yang kita serahkan atas dasar kepercayaan dan semangat kongsi kuasa.
“Begitu juga MIC. Ini menunjukkan bahawa kita menghormati dan menghargai kesetiaan mereka sejak dahulu lagi. Kita bukan hanya bersama dalam susah dan senang, tetapi juga mengekalkan semangat permuafakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang Kali Ke-37 Tahun 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pegangan dan pendekatan BN dalam meraikan semua kaum dan agama akan terus dikekalkan sebagai asas kepada perpaduan nasional.
“Kita percaya kepada kepelbagaian sebagai kekuatan dan kerjasama antara kaum dalam BN inilah yang menjadi formula kejayaan sejak puluhan tahun,” katanya.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa agar parti itu tidak dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya perlu diberikan kerusi yang bersesuaian bagi membuktikan kerelevanannya dalam landskap politik semasa.-KOSMO! ONLINE