KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki No. 1 negara, Leong Jun Hao sedia menggalas tanggungjawab sebagai wakil tunggal Malaysia dalam acara itu pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo bermula 15 hingga 20 Julai ini.
Bagaimanapun, pemain No. 24 dunia itu berdepan laluan sukar seawal pusingan pertama apabila diundi bertemu pemain Perancis, Alex Lanier yang juga juara bertahan merangkap juara Eropah.
Jun Hao mengakui Lanier adalah lawan yang sukar, namun sedia untuk melakukan persiapan terbaik dalam usaha melangkah ke pusingan kedua kejohanan Jelajah Dunia Super 750 itu.
“Buat sementara ini, saya hanya akan buat apa yang perlu sehingga saya berangkat ke sana. Apabila tiba di sana, barulah saya buat persiapan dan berbincang bagaimana nak lawan dia (Lanier).
“Bagi saya, Lanier merupakan lawan yang sangat baik dan kuat, jadi saya hanya perlu buat persediaan bagi membuatkan dia berada dalam keadaan sukar,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Bekas juara remaja Asia itu menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki pada Terbuka Jepun selepas pemain profesional, Lee Zii Jia mengambil keputusan menarik diri.
Jun Hao juga menganggap pengalaman menewaskan beberapa pemain ternama sebelum ini termasuk Jonatan Christie dan Kodai Naraoka dapat membantunya berdepan Lanier nanti.
“Saya rasa lebih kurang sama walaupun dia (Zii Jia) tiada. Memang betul pengalaman (bertemu pemain ternama) akan membantu tetapi kena tengok juga bagaimana permainan pada hari tersebut,” ujar Jun Hao. – KOSMO! ONLINE