JOHOR BAHRU – Koperal Adeline Liu Yan Siu yang terbabit dalam nahas helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah kelmarin baru bernikah dua bulan lalu.
Suaminya, Koperal Mohd. Helmie Huzaire Sabli, 34, berkata, mereka telah melangsungkan perkahwinan pada 20 Mei lalu.
Katanya, Adeline, 32, berkhidmat sebagai anggota polis sejak 2014, sebelum menyertai Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM tiga tahun kemudian.
“Ya, kami baru berkahwin dua bulan lalu selepas berkenalan ketika mula menyertai PDRM. Dia berkhidmat di PGU Subang Jaya, manakala saya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
“Ketika mendapat panggilan dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa isteri, memang terkejut dan sedih. Tetapi alhamdulillah keadaannya makin stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Helmie, isterinya mengalami kecederaan di bahagian paru-paru, selain patah tulang belakang dan kelenjar pinggang bengkak. Wanita itu ditempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU), namun keadaannya semakin baik.
“Dia bernafas tanpa bantuan alat pernafasan dan boleh bercakap. Paru-parunya semakin baik, manakala bengkak di kelenjar pinggang tidak memerlukan pembedahan. Dia cuma perlukan masa untuk pemulihan tulang belakang,” ujarnya.
Mohd. Helmie berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kesembuhan bukan sahaja buat isterinya, tetapi empat anggota polis lain yang terlibat dalam insiden tersebut.
Semalam, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim memaklumkan hanya seorang anggota polis, Konstabel R. Devendran ditidurkan bagi mengurangkan pergerakan untuk mempercepat proses pemulihan.
Kelmarin, Kosmo! Online melaporkan helikopter jenis AS355N yang menyertai latihan keselamatan serantau sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025) terhempas di kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Gelang Patah. – KOSMO! ONLINE