BENTONG – Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pergaduhan di Sky Avenue Genting Highlands yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Menerusi video berdurasi 55 saat itu, jelas memaparkan pergaduhan berlaku melibatkan sekumpulan lelaki yang turut menggunakan besi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, susulan kejadian itu dua laporan polis diterima pihaknya, hari ini.
“Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian ini.
“Mohon kerjasama mana-mana yang terlibat tampil untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, polis memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes tersebut dalam siasatan polis. – KOSMO! ONLINE