JAKARTA – Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Jawa Timur mengenal pasti identiti tiga daripada empat mayat mangsa feri karam di perairan Pulau Bali termasuk seorang rakyat Malaysia, lapor portal berita VOI semalam.
Ketua polis wilayah Jawa Timur, AKBP Adam Bimantoro berkata, salah seorang mangsa merupakan rakyat Malaysia bernama Fauzey Awang, berusia 58 tahun.
“Pengenalpastian dilakukan melalui pemeriksaan perubatan dan barang milik mangsa seperti dompet dan kad pengenalan diri,” katanya pada sidang akhbar di hospital awam Blambangan, Banyuwangi semalam.
Dua lagi mayat dikenal pasti sebagai penduduk tempatan iaitu Sofyan Wibowom, 18, dan Noval Hardiansyah, 15.
“Mayat keempat belum dikenali pasti. Mayat tersebut merupakan seorang wanita yang memakai seluar jeans pendek dan ditemui di Pantai Plengkung, kawasan Taman Nasional Alas Purwo,” tambahnya.
Menurut pihak berkuasa, seramai 15 orang disahkan meninggal dunia selepas sembilan hari usaha menyelamat dijalankan.
Kira-kira 30 orang ditemui selamat, manakala 20 orang lagi masih hilang.
Feri KMP Tunu Pratama Jaya membawa 53 penumpang, 12 kru dan 2 unit kenderaan itu karam di Selat Bali pada 2 Julai lalu. – AGENSI