PETALING JAYA – Suasana pilu menyelubungi sekitar lokasi kejadian apabila barangan peribadi milik enam beranak yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra dilihat terapung di permukaan air.
Antara barangan yang dilihat hanyut di sungai tersebut adalah selipar dan bantal leher dipercayai milik mangsa.
Difahamkan, barangan tersebut hanyut selepas kereta jenis Proton Saga Iswara yang dinaiki enam beranak berkenaan tenggelam ke dasar sungai dalam insiden menyayat hati itu.
Menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan, anggota bomba bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertungkus-lumus mengeluarkan mayat kesemua mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan enam beranak yang ditemukan maut hari ini dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri sebaik kereta jenis Proton Saga Iswara yang dinaiki terjunam ke dalam Sungai Korok, namun gagal.
Mereka ialah pasangan suami isteri, Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9, Hawa Adriana, 8, Anayla Huma’ira, 7, dan Tuah Haidar, enam bulan. – KOSMO! ONLINE