PETALING JAYA – Usahawan yang sedang mengendalikan pelbagai bisnes boleh menyertai Serial Entrepreneur Programme (SEP) anjuran OCBC Malaysia untuk membantu dan mengembangkan perniagaan baharu mereka.
Program yang telah dilancarkan bulan ini selepas menjalani fasa perintis selama setahun itu tidak memberi tumpuan kepada entiti syarikat tetapi model program tersebut difokuskan kepada individu khususnya pengasas atau pelopor perniagaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Borong OCBC Malaysia, Jeffrey Teoh berkata, para peserta bakal memperoleh manfaat yang besar daripada program ini kerana ia telah digabungkan dengan pendekatan penglibatan tersusun yang tidak disediakan di pasaran.
“Model perbankan tradisional sering menganggap setiap perusahaan sebagai entiti berasingan, menyebabkan sokongan dan penyelesaian kewangan terpisah dan tidak mengambil kira gambaran keseluruhan.
“Kami telah membuat keputusan untuk merangka SEP bagi membantu peniaga menangani kerumitan menguruskan berbilang perniagaan dengan mudah, fleksibel dan pantas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Teoh menjelaskan, kira-kira satu daripada tiga usahawan yang ditawarkan pinjaman prinsipal bank dalam fasa perintis telah mendaftar untuk program tersebut yang mana ia melibatkan kira-kira 300 syarikat yang memperoleh pinjaman bernilai lebih daripada RM850 juta.
Tambah beliau, SEP OCBC adalah susulan kejayaan program yang serupa dilancarkan oleh OCBC Group di Singapura pada tahun 2019.
Antara manfaat lain yang diperoleh peserta adalah pembiayaan modal yang diperlukan untuk mereka mengembangkan perniagaan dengan lebih yakin. -KOSMO! ONLINE