fbpx

‘Nak cakap takut riak, anugerah suntik semangat jadi lebih baik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FASHA berasakan dirinya lebih banyak kelemahan berbanding kelebihan tetapi sangat bersyukur dengan anugerah Pingat Jasa Baik yang diterima sempena ulang tahun keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pelakon Fasha Sandha menyifatkan Pingat Jasa Baik (PJB) yang diterima pada sempena ulang tahun keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai satu penghargaan tertinggi yang pernah diterimanya sejak bergelar anak seni lebih dua dekad lalu.

Menurut Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, dia bagaimanapun enggan mendabik dada dengan penganugerahan tersebut kerana berasakan dirinya masih memiliki banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Alhamdulillah rezeki yang tidak disangka dan anggap hadiah untuk perkahwinan serta anak-anak.

“Saya masih banyak kelemahan berbanding kelebihan tetapi apabila terpilih menerima pengiktirafan sebegitu, saya syukur.

“Saya syukur sebab pengiktrafan tersebut jarang diberikan oleh pihak istana Perlis, memang satu perkara yang tidak pernah dijangka, kurniaan yang paling tinggi saya pernah dapat,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis tayangan perdana filem Citra Apartmen bagi memberi sokongan kepada lakonan adiknya, Elisya Sandha di sini, semalam.

Fasha juga enggan berlebih-lebihan dalam memberi komen mengenai pengiktirafan tersebut kerana enggan dilabel sebagai sombong.

“Saya risau nak cakap sebab takut kedengaran seperti riak namun anggap itu satu hadiah yang diberikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

“Saya amat berbesar hati dengan penganugerahan itu dan insya-Allah menyuntik semangat untuk menjadi orang lebih baik.

“Mungkin saya dapat sebab sebelum ini banyak menulis tentang Perlis Indera Kayangan selain dibesarkan di negeri itu walaupun saya dilahirkan di Johor. Ini satu kenangan yang manis, Alhamdulillah,” ujarnya.

Ditanya sekiranya pengiktirafan tersebut memberi tekanan kepadanya, Fasha menegaskan dia hanya merasakan bakat seninya dihargai.

“Anugerah ini tidak buat saya rasa terbeban sebaliknya dihargai.

“Kalau nak cakap tentang kemungkinan akan diangkat menjadi ikon atau dapat gelaran datuk, saya rasa perjalananan itu masih terlalu jauh sebab ramai lagi orang yang lebih layak.

“Gelaran datuk? Terlalu berat dan tak pernah terfikir, tiada komen tentang itu,” ujarnya.

Pada 26 Jun lalu, Fasha melakar sejarah peribadi apabila menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.

Selain Fasha, aktres Rita Rudaini turut menerima pengiktirafan sama bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian dalam bidang seni tanah air terutama lakonan serta usaha murninya dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI