PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan terus memartabatkan kedudukan Islam di Malaysia.
Anwar berkata, Kerajaan Madani pimpinan beliau akan berikhtiar dengan sedaya upaya dan kapasiti yang ada untuk tujuan tersebut.
“Insya-Allah, kerajaan Malaysia akan terus berikhtiar dengan sedaya upaya dan kapasiti yang ada akan memartabatkan kedudukan Islam dalam kerangka perlembagaan dan semangat Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-73 yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar; ahli yang dilantik mewakili negeri-negeri, pemimpin tertinggi kerajaan serta semua ahli MKI yang dilantik berdasarkan kepakaran masing-masing.
Kata beliau, keprihatinan Sultan Nazrin mengenai hal ehwal Islam di Malaysia terpancar melalui titah baginda mengenai falsafah perpaduan yang digambarkan melalui perbilangan adat perpatih.
Jelasnya, baginda bertitah perbilangan adat perpatih yang diadaptasi oleh orang Melayu dalam mempertahankan kesucian agama dan maruah bangsa berupaya untuk menyebarkan syiar Islam dan mengangkat martabat bangsa.
“Mesyuarat MKI ini juga medan penting antara institusi raja dan kerajaan dalam menyelaras hal ehwal Islam di Malaysia khususnya dalam memperkasa pembangunan insan berteraskan ihsan, adab dan ilmu demi menjulang Karamah Insaniah,” katanya. – KOSMO! ONLINE