BERMAIN dram bukan sekadar hiburan, malah memberikan banyak manfaat, khususnya kepada golongan istimewa seperti anak-anak sindrom Down.
Aktiviti itu melibatkan irama dan rentak yang mampu merangsang kemahiran motor halus dan kasar, selain boleh meningkatkan fokus serta membantu golongan tersebut meluahkan emosi secara positif.
Bunyi dram yang tersusun boleh menjadi satu bentuk terapi yang menyeronokkan, sekali gus membina keyakinan diri dan kemahiran sosial.
Maka tidak hairanlah apabila seorang anak muda istimewa, Aidin Rayyan Ahmad Fauzi, 15, memilih dram sebagai hobi yang dekat di hatinya bagi mengisi masa lapang.
Menurut ibunya, Adriana Zuleika Azmi, minat terhadap dram muncul secara tidak sengaja disebabkan obsesi remaja yang mesra disapa sebagai Rayyan itu terhadap watak Harry Potter.
“Rayyan sangat suka memegang wand dan stick yang kemudiannya membawa kepada kecenderungan meniru aksi pemain dram.
“Seawal usia empat tahun, Rayyan sudah mula menonton video di YouTube dan meniru aksi bermain dram di hadapan televisyen,” katanya kepada K-Remaja.
Bakat Rayyan mula terserlah ketika berumur antara 9 hingga 10 tahun apabila dia cuba bermain dram di rumah salah seorang rakan.
Melihat keupayaannya, keluarga rakannya mencadangkan supaya anak kelahiran Selangor itu dihantar ke kelas dram di Kostka Music School, Kota Kemuning, Shah Alam.
Pada awalnya, guru muzik agak ragu-ragu untuk mengajar Rayyan memandangkan keistimewaan dimilikinya, namun tetap memberi peluang untuk mencuba sesi pertama.
Tidak sampai sebulan, guru tersebut sudah dapat melihat potensi luar biasa yang dimiliki oleh Rayyan.
Hal ini kerana bermain dram memerlukan tahap koordinasi yang tinggi, sekali gus menjadi satu cabaran besar bagi anak-anak sindrom Down.

Kongsi Adriana, anak sulungnya itu turut didedahkan dengan kemahiran membaca nota muzik.
Ujarnya, anaknya sedang diajar oleh guru untuk mengikut susunan nota muzik secara sistematik.
“Rayyan mengikuti kelas dram secara formal dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Jumaat selepas waktu sekolah.
“Di rumah pula, dia berlatih dua hingga tiga kali seminggu terutamanya apabila menghampiri tarikh persembahan.
“Selain itu, Rayyan rajin berlatih sendiri dengan menonton video di YouTube.
“Kadang-kadang, dia memilih lagu sendiri untuk dicuba,” katanya.
Rayyan juga aktif membuat persembahan di pelbagai platform seperti sekolah, pusat beli-belah dan konsert tahunan kelas muzik termasuk Kostka Concert.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27, Shah Alam itu juga pernah tampil dalam persembahan merdeka di sekolah serta menyertai talent show di sekolah muziknya.
Menariknya, Rayyan pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan seperti Karnival Kesenian, Kemahiran dan Keusahawanan Pendidikan Khas.
Remaja yang meminati pemain dram terkenal, Cooper the Drummer itu pernah diberi penghormatan membuka acara anjuran Diversity Istimewa iaitu Autism Fashion Rules.
Setakat ini, Rayyan tampil secara solo dengan menggunakan muzik latar (backing track) atau berkolaborasi dengan penari sekolah.
Sementara itu, Adriana berharap agar Rayyan dapat menjadikan bakatnya sebagai satu kerjaya sama ada sebagai guru muzik, instruktor dram atau seorang pemuzik profesional.
“Kami cuma mahu beri ruang untuk dia terus berkembang. Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti Rayyan bukan sekadar pemain dram. Dia boleh juga menjadi pengajar, pemuzik profesional atau pakar alat muzik tradisional seperti caklempong dan instrumen lain,” katanya.














