PETALING JAYA – Pelawak dan penyampai radio, Fad Bocey menyifatkan kematian sahabat baiknya, Allahyarham Abam pada 2020 memberi kesan sangat besar terhadap kelangsungan kehidupannya.
Mengenang kembali, Fad atau nama lengkapnya Muhammad Fadzlie Mohd. Nizam, 34, berkata, dia yang pada ketika itu sedang berada di Jepun bersama keluarga hanya dapat melihat jasad Abam yang terbujur kaku melalui panggilan telefon bersama Achey Bocey.
“Saya sedih sewaktu panggilan video itu apabila Achey beritahu Abam sudah tiada. Nada suara Achey ketika itu seolah-olah dia merintih untuk saya berada di situ.
“Dan apabila Achey pusing kamera menunjuk ke arah arwah, saya lagi ‘barai’ kerana saya merupakan antara orang yang selalu tidur dengan dia (Abam).
“Arwah Abam tidak pernah tidur secara terlentang dan apabila saya tengok dia keadaan terbaring macam itu, saya tahu yang saya memang tiada peluang untuk tengok, peluk dan cium dia buat kali terakhir,” katanya.
Tambah Fad, dia kemudiannya meminta Achey untuk tidak memutuskan talian sehingga proses pengebumian selesai kerana mahu menatap arwah Abah buat kali terakhir.
“Saya cakap dengan Achey, jangan letak panggilan telefon, biar sahaja saya tengok.
“Ketika itu, kami berdua tidak bercakap apa-apa dan sambil tengok itu saya sempat hadiahkan al-Fatihah kepada Abam serta bacakan apa yang patut saya baca kepada dia (Abam).
“Dan kalau tanya saya, betullah saya rasa bagaikan separuh sayap saya ini hilang apabila Abam sudah tiada,” ujarnya dalam audio siar Dol’s Podcast yang dikendalikan Shuib, Mamat dan Fizie Roslan.
Sekadar into, Allahyarham Abam atau nama lengkapnya Syed Umar Mokhar Syed Mohd. Ridzuan meninggal dunia akibat demam panas pada 10 Februari 2020. – KOSMO! ONLINE