LONDON – Manchester United dilaporkan sudah bersedia untuk merealisasikan misi membawa masuk bintang muda Paris Saint-Germain, Warren Zaire-Emery ke Old Trafford.
Ketika ini pengurus The Red Devils, Ruben Amorin sedang mencari pemain baharu untuk menguatkan jentera tengah bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Christian Eriksen, selain Casemiro juga dikait bakal meninggalkan pasukan itu.
United dilapor sudah pun memulakan usaha untuk melengkapkan syarat bagi menyempurnakan perpindahan Zaire-Emery yang dilabel sebagai antara pemain muda paling menyinar di Ligue 1 Perancis.
Bagaimanapun, tugas berat menanti United memandangkan pengendali PSG, Luis Enrique bercadang untuk mengekalkan khidmat Zaire-Emery dan menetapkan nilai £85.3 juta (RM495.2 juta) sekiranya terpaksa melepaskan khidmatnya.
Pasukan rundingan United dikatakan sudah berhubung dengan ejen Zaire-Emery, namun setakat ini tiada sebarang langkah seterusnya dapat diputuskan.
Pemain berusia 19 tahun itu sudah pun melakukan 125 penampilan dengan PSG, menjaringkan lapan gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan.
The Red Devils kini memberikan fokus untuk menyempurnakan proses perpindahan bintang Brentford, Bryan Mbeumo dan proses rundingan melibatkan Zaire-Emery dijangka bakal diheret sehingga hujung jendela perpindahan nanti. – AGENSI