LONDON – Liverpool makin serius untuk memperkukuhkan pasukan itu menjelang saingan musim depan selepas melengkapkan perpindahan pertahanan baharu, Milos Kerkez dari Bournemouth.
Perpindahan itu dianggarkan bernilai £40 juta (RM232.2 juta) dan bintang Hungary itu mengikat perjanjian selama lima tahun sekali gus membolehkannya menyertai rakan senegaranya, Dominik Szoboszlai.
“Adalah menjadi satu penghargaan buat saya untuk datang ke sini dan bermain dengan salah satu daripada kelab terbesar dunia dan di England. Saya begitu gembira dan teruja untuk menyertai Liverpool.
“Saya akan menikmati cuti untuk beberapa hari dan tidak sabar untuk kembali menyarung persalinan Liverpool serta memulakan pramusim,” kata Kerkez.
Perpindagan itu menyaksikan The Reds sudah pun berbelanja £170 juta (RM986.9 juta) pada jendela perpindahan kali ini selepas turut membawa masuk Florian Wirtz dan Jeremie Frimpong, kedua-duanya dari Bayer Leverkusen.
Kualiti yang ada pada Kerkez bukan lagi rahsia apabila legenda AC Milan, Paolo Maldini pernah memujuknya untuk menyertai kelab Serie A itu sebelum dia membuat keputusan ke Bournemouth pada 2023.
Untuk rekod, Kerkez membuat 38 penampilan dengan The Cherries di Liga Perdana Inggeris musim lalu dan membantu kelab itu mencipta rekod baharu pasukan dengan meraih 56 mata di pertandingan utama. – AGENSI