PETALING JAYA – Enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Terengganu dibuang serta-merta selepas terbabit kes membuli pelajar tingkatan dua sehingga cedera.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tiada kompromi diberikan terhadap pelaku buli di mana-mana institusi pendidikan di bawah seliaan agensi itu.
“Semua enam pelajar MRSM di Terengganu yang didapati membuli secara fizikal diarahkan dibuang daripada maktab. Tiada kompromi atas apa jua alasan. #YouTouchYouGo,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Asyraf berkata, apa jua alasan tidak sesekali ‘menghalalkan’ perbuatan memukul atau bentuk fizikal yang boleh mencederakan.
“Sudah berulang kali saya tegaskan tiada tempat bagi pembuli di mana-mana MRSM.
“Saya telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah Mara untuk tidak sesekali berkompromi dalam hal ini. Semua pelajar yang terlibat hendaklah dibuang daripada Maktab. Tidak perlu melayani sebarang rayuan,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua MRSM di Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior pada malam Selasa lalu sehingga cedera di perut, rusuk dan belakang badan.
Mangsa mendakwa dipaksa duduk separa mencangkung dengan kepalanya diletakkan selipar kira-kira 40 minit pada pukul 11.30 malam.
Remaja lelaki itu juga mendakwa ditumbuk selain mukanya ditampar sehingga mengalami kesakitan pada perut dan rusuk serta belakang badannya lebam.
Seorang warden yang menyedari kejadian itu segera membawa mangsa dan kesemua suspek ke pejabat warden asrama sebelum ibu bapa mangsa yang dimaklumkan insiden berkenaan membawa anak mereka ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan. – KOSMO! ONLINE