JAKARTA – Seorang Pesuruhjaya Polis di wilayah Sulawesi Tengah digugurkan daripada jawatannya selepas satu kontroversi yang menyaksikan dia melempar telur mata separuh masak ke muka pelayan restoran, lapor laman berita Info Tren hari ini.
Pesuruhjaya Kanan Polis Richard B. Pakpahan secara rasmi digugurkan daripada jawatannya sebagai Direktorat Khidmat Masyarakat Polis Wilayah Sulawesi Tengah susulan kes tular tersebut.
Dalam kejadian pada 14 Jun lalu, seorang remaja dikenali sebagai CV, 17, dilempar dengan telur mata separuh masak pada muka di sebuah premis perniagaan di Bandar Palu.
Richard bertindak demikian selepas hidangan mi kuah yang dipesannya tidak dibuat mengikut kehendaknya.
Dia dikatakan meminta agar telur dicampur ke dalam mi kuah, namun pelayan membawa telur yang diasingkan, lapor laman berita Tribunnews.
Ia membuatkan Richard berang, lalu melempar telur ke muka CV serta memukul mangsa.
Justeru, berdasarkan Surat Telegram Ketua Polis Nombor: ST/1442/VI/KEP/2025 bertarikh 24 Jun 2025, Richard dipindahkan menjadi perwira menengah di Polis Wilayah Sulawesi Tengah tanpa jabatan struktural.
Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Tengah, Pesuruhjaya Kanan Djoko Wienartono menjelaskan, tindakan memindahkan Richard ke jawatan bukan struktur dianggap sebagai usaha mengekalkan profesionalisme dan menyahut tuntutan awam.
“Ini menunjukkan komitmen Polis Republik Indonesia terhadap akauntabiliti dan integriti pegawai di lapangan,” katanya. – AGENSI