Menyingkap sejarah jutaan tahun di Lenggong, Hulu Perak (merupakan daerah terbesar dalam Perak) membuatkan saya teruja.
Lenggong menyimpan banyak kisah terutamanya dalam era selepas Perang Dunia Kedua sehingga mendapat pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2012.
Pengiktirafan tersebut berikutan ekskavasi tinggalan manusia purba berusia hampir 1.83 juta tahun telah dijumpai di sini. Ia sangat penting kerana menjadi antara set rekod manusia terawal di luar Afrika merangkumi zaman Paleolitik, Neolitik hingga zaman Gangsa.
Uniknya, kawasan Lenggong merupakan lembah yang diapit oleh dua banjaran iaitu Banjaran Titiwangsa di sebelah barat dan Banjaran Bintang di sebelah timur.
Tarikan pelancongan
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dibuat di sini seperti menjelajah gua, mendaki, hiking, berkhemah, menyelusuri Sungai Perak dan memancing.
Kebelakangan ini, aktiviti perkhemahan turut menjadi tarikan di Lenggong terutamanya buat camper dan pemancing.
Sebab itulah banyak tapak-tapak perkhemahan dan resort mula membangun di sekitar kawasan ini.
Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk berkhemah dan memancing ketika cuti sekolah baru-baru ini.
Kami sekeluarga telah berkunjung ke Lenggong Valley Campsite (LVC) yang terletak di Kampung Kuak, Lenggong.
Lenggong Valley Campsite
Pemanduan selama tiga jam dari ibu negara sedikit pun tidak melelahkan saya. Setiba di Kampung Kuak, saya disambut oleh Mejar (B) Ruslan Abdullah iaitu pesara Rejimen Askar Melayu Diraja yang merupakan pemilik LVC. Dia setia menunggu saya, sebelum menjadi jurupandu untuk ke LVC yang terletak di puncak bukit.
Perjalanan waktu malam menuju ke LVC sedikit mencabar kerana sepanjang jalan masuk ke sana dipenuhi batu-batuan yang sedikit menyukarkan pemanduan.
Jika anda tidak yakin memandu ke puncak bukit, kenderaan boleh diletakkan di tapak parkir di kawasan kampung dengan bayaran RM10, dan pihak pengurusan LVC akan turun mengambil anda untuk naik ke atas.
Setibanya di LVC, saya dan keluarga kagum dengan keindahan kawasan sekitar. Suasana malam yang dingin dan udara menyegarkan membuatkan penat memandu lenyap begitu sahaja.
Selain kami sekeluarga, terdapat beberapa kumpulan camper yang turut berada di LVC.

Saya dan isteri tanpa membuang masa terus mendirikan khemah ‘one pole’ Rabbit DOD sambil dibantu oleh Muaz iaitu anak kepada Ruslan memandangkan malam semakin lewat.
LVC didirikan di atas tanah berkeluasan hampir tiga ekar. Selain tapak khemah yang boleh memuatkan 20 buah khemah dengan setiap tapak berlainan harga, terdapat kemudahan bilik chalet untuk pengunjung yang tidak berkhemah.
Penggunaan elektrik hanya pada waktu malam kerana bekalan elektrik di LVC hanya bergantung kepada generator.
Terdapat sebatang sungai yang mengalir turun dari Banjaran Bintang sepanjang LVC. Namun, pengunjung dilarang untuk mandi di sungai tersebut demi menjamin kualiti air.
Ini kerana, air sungai tersebut merupakan sumber kegunaan orang kampung di bahagian bawah.
Bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana terdapat lokasi yang dibenarkan untuk mandi-manda buat pengunjung.
Jika kena pada waktunya, anda akan disajikan dengan pemandangan kabus yang menutupi kawasan perkhemahan seperti dalam kisah dongeng.
Saya mengambil kesempatan untuk memancing di LVC kerana Ruslan kerap ‘membakar’ dengan gambar-gambar tengas yang dipancingnya.
Kebiasaannya, jika memancing di sungai pergunungan, saya menggunakan set pancingan ultralight.
Namun kali ini, saya memilih set joran teleskopik yang biasanya digunakan untuk memancing udang, ia dipadankan dengan kekili bersaiz 500 bersama tali benang 6 paun (lb).
Antara sebab saya memilih joran tersebut kerana tip joran yang sensitif, sedikit getuan daripada ikan kecil pun akan terasa. Ini akan menjadikan pancingan saya sedikit thrill.
Mata kail pula saya guna saiz lapan jenama Fire Eagle yang yang kecil dan batangnya sedikit panjang untuk memastikan mata tertancap sempurna jika tengas memakan umpan.
Jika menggunakan tali benang (braided) sebagai mainline, pastikan anda gunakan shock leader bagi mengurangkan risiko tali terbelit apabila hanyut dibawa arus. Untuk pemberat, sudah memadai guna batu ladung hidup jenis bulat yang kecil sahaja.
Saya memilih menggunakan umpan roti pada sebelah siang dan cengkerik pada waktu malam. Hasilnya, beberapa ekor ikan tengas bersaiz dua jari dapat dinaikkan, saiz yang sesuai untuk digoreng garing.
Satu lagi umpan killer yang diajar oleh isteri Ruslan adalah biskut kering yang dihancurkan dan dicampur dengan tepung gandum, ternyata ia berkesan di sini.
Walaupun tidak berjaya mendaratkan tengas bersaiz kasar, namun saya tetap berpuas hati. Bukan senang untuk mencari ikan tengas liar. Bagi pemancing yang ingin memburu tengas, anda perlu mengeluarkan belanja besar jika ingin merasai pengalaman menyeronokkan.
Empat hari di LVC terasa amat singkat, berat hati untuk pulang semula ke ibu kota. Disebabkan keindahan, suasana dan rasa tidak puas memancing, kami sekeluarga akan datang lagi nanti, mungkin bersama teman-teman lain.
Seperkara lagi, jika anda ingin datang ke LVC, pastikan kena pada musim buah. Anda akan disajikan bukan sahaja durian, malah buah-buahan lain seperti dokong, rambutan dan banyak lagi.














