PUTRAJAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat, malam ini bagi membincangkan hala tuju parti serta kedudukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan dan melepaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan membuktikan kejujuran serta integriti beliau sebagai ahli politik muda.
“Sejak awal tahun 2020, saya bersama Syed Saddiq dalam perjuangan ini sebagai sahabat dan rakan dalam parti. Atas kepercayaan penuh terhadap beliau, saya sendiri menjadi penjamin kerana yakin 100 peratus terhadap keabsahan beliau dalam kes ini.
“Hari ini terbukti bahawa Syed Saddiq ialah seorang yang jujur dan berada dalam paksi keadilan apabila berbicara tentang politik,” katanya.
Tambahnya, mesyuarat malam ini akan memberi fokus kepada strategi masa depan Muda dan peranan Syed Saddiq dalam parti, dan sebarang keputusan akan dikongsi bersama rakan-rakan media dalam masa terdekat.
Terdahulu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan, hari ini atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Dalam penghakiman, panel mendapati sabitan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam mensabitkan hukuman itu. -KOSMO! ONLINE