PETALING JAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan dakwaan membabitkan beberapa warga Pakistan memperoleh kad pengenalan biru atau MyKad adalah aduan lama yang ditularkan semula.
JPN dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima aduan tentang isu tersebut yang telah pun tular pada tahun 2019.
Menurutnya, isu ini telah diambil tindakan undang-undang bagi pemegang kad pengenalan Mohd. Izaz Abit kerana menggunakan sijil kelahiran milik orang lain untuk mendapatkan kad pengenalan.
“Kad pengenalan berkenaan juga telah dirampas selepas pengakuan diperoleh daripada individu dan penganjur permohonan tersebut,” katanya.
JPN berkata, semakan kesahihan turut dibuat ke atas nombor kad pengenalan yang ditularkan dan mendapati individu-individu berikut merupakan warga Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, bagi pemegang kad pengenalan Abd Rauf Hamzah berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b).
“Pemegang kad pengenalan Mohd Abzah Ulamai Dar berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(a).
“Bagi pemegang kad pengenalan Said Bashar Shah Zadar berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) dengan pengesahan bahawa bapanya merupakan warganegara Malaysia sejak 6 Mac 1958,” katanya.
Sementara itu, JPN berkata, dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan Malaysia, pembuktian kelayakan untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon.
Selain itu, proses pertimbangan adalah tertakluk kepada syarat-syarat di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 [L.N.82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak, dan peraturan imigresen.
“Jabatan ini ingin menegaskan syarat-syarat ini hanya melayakkan permohonan dikemukakan tetapi tidak menjamin bahawa permohonan kewarganegaraan tersebut akan diluluskan.
“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia tidak akan memberikan kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya atau sebarang keistimewaan tertentu,” katanya.
Terdahulu tular dakwaan membabitkan beberapa warga Pakistan memperoleh kad pengenalan biru, menyatakan ‘Pejabat JPN Sabah sentiasa dipenuhi Pakistan buat Permohonan IC (kad pengenalan)’. - KOSMO! ONLINE