PASADENA – Jaguh Brazil, Botafogo berjaya lolos ke pusingan kalah mati meskipun tewas 0-1 kepada Atletico Madrid pada aksi terakhir Piala Dunia Kelab 2025 yang berlangsung di Stadium Rose Bowl awal pagi semalam.
Atletico berjaya meraih kemenangan hasil penyudah Antoine Griezmann pada penghujung saingan tetapi tidak menghalang Botafogo untuk mara kerana memiliki rekod perbezaan jaringan yang lebih baik.
Kapten Botafogo, Marlon Freitas mengakui teruja dapat menutup mulut pengkritik selepas mendakwa pasukannya tidak akan melangkah jauh selepas diundi dalam kumpulan maut bersama Atletico dan Paris Saint-Germain (PSG).
“Saya rasa kami patut meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati kerana ramai menjangka kami tidak akan ada peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.
“Namun, kami telah buktikan sebaliknya kerana selaku juara Copa Libertadores, kami layak untuk dihormati dengan lebih baik.
“Mengenai perlawanan ini, saya rasa kami tidak sepatutnya kalah dan keputusan seri lebih adil buat kedua-dua pasukan,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan oleh pemain berpengalaman, Alex Telles yang menganggap mereka tidak hadir ke Piala Dunia Kelab untuk bercuti, sebaliknya mahu melangkah sejauh mungkin.
“PSG dan Atletico berikan kami penghormatan lebih baik berbanding pemain dan orang luar. Mereka katakan kami sekadar mahu ke Disneyland tetapi kami telah tutup kritikan tersebut dengan layak ke peringkat seterusnya,” katanya. – AGENSI