LONDON – Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff tampil mempertahankan bekas pemandunya, Lewis Hamilton yang masih bergelut menyesuaikan diri bersama Ferrari musim ini.
Hamilton, 40, mengejutkan dunia F1 apabila meninggalkan Mercedes selepas 12 tahun untuk menyertai Ferrari bagi musim 2025, namun setakat ini, pemandu Britain itu belum menepati jangkaan.
Ferrari juga dilihat kurang kompetitif musim ini menerusi jentera SF-25 yang setakat ini hanya mencatat tiga kedudukan podium menerusi Charles Leclerc.
Hamilton pula mencatat keputusan terbaik apabila menjuarai perlumbaan pecut di Grand Prix China selepas bermula dari petak utama.
Namun, Wolff tetap percaya Hamilton belum hilang magisnya dan menegaskan bahawa tempoh penyesuaian sememangnya diperlukan bagi mana-mana pemandu apabila menyertai pasukan baharu.
“Tidak mungkin seseorang pelumba tiba-tiba hilang kemahiran. Pada 2021, dia masih berada pada tahap terbaik. Selepas peraturan berubah, dia tetap konsisten pada tahap tinggi,” katanya.
Tambah Wolff, pasukan Ferrari yang beroperasi sepenuhnya dalam persekitaran Itali memberi cabaran tambahan kepada Hamilton sebagai seorang pemandu dari Britain.
“Apabila anda menyertai pasukan baharu, ia bukan sahaja melibatkan kereta yang berbeza, tetapi juga budaya kerja, pendekatan kejuruteraan dan gaya komunikasi yang berlainan.
“Ia memerlukan masa untuk membina kefahaman bersama jurutera dan menyelaraskan pembangunan jentera mengikut gaya pemanduan seseorang.
“Setiap musim, kita lihat dia mengambil masa untuk mendapatkan semula rentaknya. Tetapi, sebaik sahaja dia menemuinya, prestasinya melonjak secara konsisten,” kata Wolff. – AGENSI