KUALA LUMPUR – Calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 hanya dibenarkan menangguhkan penyertaan latihan sebanyak dua kali sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terus gagal menghadirkan diri tanpa sebab munasabah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihak kementerian memahami terdapat calon yang memerlukan penangguhan atas sebab-sebab tertentu seperti menyambung pengajian atau masalah kesihatan, namun ketegasan tetap diperlukan untuk memastikan kelancaran program serta pembentukan jati diri pelatih.
“Kalau selepas dua kali masih minta tangguh, kita akan lihat beberapa perkara termasuk beri kaunseling kepada keluarga.
“Kita akan gunakan semua perkara seperti mana yang kita maklumkan, akta itu adalah tindakan terakhirlah kalau kita dah melalui proses-proses yang kita lakukan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Adly menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih PLKN 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (AW) di sini, hari ini melibatkan 187 pelatih wanita.
Sebelum ini, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menerusi kenyataan dilaporkan berkata, kehadiran pelatih adalah diwajibkan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara sekiranya gagal hadir tanpa alasan munasabah atau pembuktian masalah kesihatan yang disahkan pakar perubatan.
Jelas JLKN, di bawah seksyen itu, mana-mana pelatih yang tidak menghadirkan diri bagi latihan khidmat negara seperti yang dikehendaki telah melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE