CHARLOTTE – Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany melaungkan amaran mereka tidak akan mengendurkan serangan menjelang aksi Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 menentang Benfica di Stadium Bank of America awal pagi esok.
Meskipun sudah hampir pasti untuk melangkah ke pusingan kalah mati selepas mencatat dua kemenangan, namun Bayern mahu menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan memenangi semua pertemuan.
Kompany berkata, beliau akan menurunkan kesebelasan utama terbaik pada perlawanan itu meskipun ramai yang menganggap Bayern sedia mengendurkan asakan kerana keputusan seri sudah memadai buat mereka.
“Kami tidak akan buat perkara seperti itu (turunkan skuad kedua) kerana saya akan sesuaikan dengan situasi perlawanan. Kami adalah Bayern Munich dan satu-satunya pilihan yang ada adalah memenangi perlawanan.
“Bayern dibarisi pemain-pemain berkualiti dan sekiranya saya melakukan penggiliran pemain, pasukan ini tetap kuat. Apabila menyarung jersi pasukan ini, anda akan menggalas tekanan dengan sasaran untuk menang,” katanya.
Selepas memenangi dua aksi terdahulu, pengendali dari Belgium itu tetap mengingatkan pemain-pemainnya supaya tidak terlalu yakin selain kekal fokus dengan misi yang sedang digalas ketika ini.
“Kami perlu kekal tenang dan fokus walaupun kadang-kadang bola sepak boleh menjadi sedikit emosi. Kami bermain cukup baik setakat ini, jadi saya harap ia dapat dikekalkan hingga ke akhir saingan,” ujar Kompany. – AGENSI