IPOH – Golongan belia di Perak dianggap kurang menceburi sektor pertanian di mana lebih 76 peratus dikuasai oleh kelompok berusia 46 tahun ke atas.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, dari segi umur, 46.6 peratus daripada pegangan individu dimiliki oleh mereka yang berumur 60 tahun ke atas diikuti 30 peratus oleh golongan umur 46 hingga 59 tahun.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dalam kalangan belia berumur 15 hingga 45 tahun, hanya 24,555 orang iaitu 23.4 peratus yang menceburi bidang tersebut.
“Data ini membongkar realiti bahawa sektor pertanian di Perak masih bergantung kuat kepada kelompok warga emas. Jurang penyertaan antara generasi tua dan muda ini bukan sahaja membimbangkan, malah membayangkan masa depan yang rapuh sekiranya tiada usaha drastik dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang turut dihadiri oleh Exco Pertanian Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun di sini hari ini.
Banci itu merekodkan sebanyak 107,474 pegangan pertanian di Perak pada tahun 2023, dengan 97.6 peratus atau 104,878 pegangan dimiliki individu manakala 2.4 peratus atau 2,596 pegangan dimiliki pertubuhan. – KOSMO! ONLINE