ARAU – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM62,041 di sebuah rumah di Taman Tengku Budriah, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 45 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau pada pukul 9.47 malam.
Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di lokasi tersebut.
“Pemeriksaan fizikal terhadap dua suspek berusia 39 dan 45 tahun yang berasal dari Jitra, Kedah serta Lumut, Perak menemukan beberapa peket dadah disyaki syabu, heroin dan pil kuda yang disorokkan di dalam beg silang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, tiada barang terlarang ditemui pada suspek ketiga yang berusia 24 tahun, bagaimanapun pemeriksaan lanjut di dalam bilik serta almari rumah berkenaan membawa kepada penemuan tambahan dadah dan peralatan membungkus dadah.
Jelasnya, rampasan melibatkan syabu seberat 542.58 gram bernilai RM59,650.80, heroin seberat 17.62 gram (RM440.50) dan 130 biji pil kuda seberat 14.23 gram (RM1,950).-KOSMO! ONLINE