JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendedahkan terdapat sembilan syarikat yang beroperasi di kawasan kebakaran di Taman Megah Ria di sini dikesan tidak mempunyai lesen sah daripada pihak berkuasa.
Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, hanya satu syarikat yang mempunyai lesen iaitu syarikat penyimpanan minyak kelapa sawit.
“Sembilan lagi termasuk premis cuci lori, pengumpulan barangan lusuh, tempat letak kenderaan berat dan simpanan bahan-bahan industri dibina beroperasi secara haram.
“Kawasan terlibat seluas 64,664 meter persegi dan siasatan mendapati banyak struktur dibina tanpa kelulusan walaupun tanah itu disewa,” katanya ketika meninjau lokasi kebakaran di sini hari ini.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu melibatkan lima buah premis kilang di Kawasan Perindustrian Kota Puteri, Taman Megah Ria di sini memusnahkan tujuh buah lori, lima motosikal dan tiga buah kereta milik persendirian.
Tambah Mohd Haffiz, terdapat risiko pencemaran alam sekitar apabila bahan tercemar termasuk minyak hitam dikesan mengalir ke dalam parit berhampiran sebelum menuju ke Sungai Rekoh dan akhirnya ke Selat Tebrau.
“Sebagai langkah awal, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memasang dua set lock boom di parit untuk menghalang minyak dari terus mengalir ke sungai. Kolam sementara juga dibina di tapak kebakaran untuk menahan minyak daripada masuk ke saliran,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.-KOSMO! ONLINE