fbpx
NOORAZRUL menunjukkan pelbagai hidangan yang menjadi tarikan di Piqa Station, Shah Alam.

Sajian fusion Thailand dan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGARUH makanan dari Thailand sering ‘disuntik’ pada banyak restoran di Malaysia sebagai sajian signatur terutama menu masakan panas.

Ini berikutan selera serumpun antara kedua-dua negara yang hampir serupa menjadikan ‘tekak’ rakyat tempatan boleh menerima cita rasa daripada negara Gajah Putih itu.

Turut menyajikan sajian daripada pengaruh tersebut yang digabungkan dengan Barat ialah restoran Piqa Station dengan membawakan menu fusion olahan resipi sendiri untuk pencinta makanan.

Menurut pemiliknya yang hanya ingin dikenali sebagai Noorazrul, 37, idea untuk menyajikan sajian bertemakan fusion Thailand, Barat dan tempatan adalah hasil perbincangan dia dan isteri, Sharifah Haslinda semasa ingin membuka restoran sejak 2020.

“Sebenarnya membuka restoran ini adalah bidang terjun ekoran kerjaya kami berdua terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Pilihan menu di sini adalah berdasarkan minat kami terhadap makanan dan setiap sajian turut mendapat sentuhan cita rasa tempatan dan diolah mengikut resipi sendiri,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Piqa Station, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, konsep restoran bertemakan santai dengan sentuhan rumah ladang memberikan keselesaan buat pelanggan.

Berkongsi tentang menu di Piqa Station, Noorazrul berkata, antara menu signatur di restorannya adalah sajian set siakap dengan aneka lauk-pauk masakan panas seperti ikan siakap tiga rasa, tomyam campur, kailan ikan masin, telur dadar bersama nasi putih.

PIQA Station terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

Menu tomyam juga merupakan olahan Noorazrul yang inginkan ia lebih kaw dan memenuhi cita rasa rakyat tempatan.

Selain makanan set, pelanggan juga boleh memilih aneka sajian masakan panas lain seperti nasi, bihun atau mi goreng sesuai selera.

Selain set nasi lauk masakan panas, terdapat juga set talam masak lemak cili atau singgang budu dan asam pedas untuk mereka yang gemarkan selera kampung.

“Apa yang istimewa di sini juga ada set Sellout Kelaut kami yang menampilkan variasi makanan laut termasuk ketam, sotong dan udang.

“Pelanggan boleh memilih pilihan sos antaranya curry creamy, buttermilk atau sambal spicy yang merupakan resipi kami sendiri,” ujarnya.

Katanya lagi, jika mahu kudap-kudapan, Piqa Station turut menawarkan menu celup tepung khas Terengganu, resipi autentik dari negeri Pantai Timur tersebut.

Bagi penggemar makanan Barat, menu seperti chicken chop, lamb chop, meatball dan lain-lain turut disediakan.

ANEKA makanan laut turut ditawarkan.
– Saddam Yusoff

Tidak ketinggalan aneka pencuci mulut dan minuman yang boleh menjadi pilihan untuk mengakhiri santapan.

Antara menu pencuci mulut yang terdapat di Piqa Station adalah waffle crispy dengan aneka perisa seperti coklat, kaya, pandan dan lepa kacang, pulut mangga, rojak buah serta cendol kampung.

Sementara, bagi minuman pula, pelanggan boleh mencuba mango smoothies yang menggunakan buah mangga sebenar dan manis. 

Kongsinya lagi, memandangkan lokasi restoran berdekatan dengan universiti tempatan, dia juga menawarkan aneka menu untuk pakej pelajar.

“Kita juga mempertimbangkan bajet pelajar yang inginkan makanan enak pada harga berpatutan dan kami turut tawarkan beberapa menu buat mereka.

“Menu pelajar terdiri daripada set nasi putih dan lauk, set nasi goreng yang disediakan bersama air teh O ais,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN