JOHOR BAHRU- Dengan menjaga pemakanan termasuk mengelak daripada mengambil makanan segera menjadi rahsia Bapu K. Mohamed kekal sihat sehingga usianya mencecah 100 tahun.
Anak kepada penoreh getah dan juga tukang masak itu, Zurina Bapu, 49, memberitahu, ayahnya lahir pada 16 Jun 1925 di Kampung Sedeng, Segamat.
Menurutnya, gaya pemakanan sihat bapanya itu terbukti apabila sehingga kini, ayahnya bebas penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi mahupun jantung.
“Namun deria penglihatan dan pendengarannya sudah agak lemah sejak beberapa tahun lalu disebabkan faktor usia yang telah mencecah satu abad.
“Dia amat menjaga pemakanan, pantang makanan segera atau penambah rasa berlebihan serta minuman sejuk dan manis. Menu kegemaran adalah lauk lemak, ikan masin serta air suam.
“Selain itu dia lebih gemar makan makanan dimasak di rumah, ayam juga dia ambil ayam kampung dan dia juga tidak merokok,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke 100 bapanya.
Tambah Zurina, ayahnya mempunyai seramai lapan orang anak, 26 cucu dan 27 cicit.
“Buat masa ini dia masih lagi mampu menguruskan diri sendiri termasuk pergi ke tandas dan makan. Kami amat bersyukur masih diberi peluang berjasa kepadanya yang kini menetap di Kampung Tenang bersama keluarga abang saya.
“Atas didikannya, lima daripada adik-beradik kami bergelar usahawan, selain turut memberi penekanan terhadap didikan agama kepada anaknya seperti yang dilakukannya kepada kami dahulu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.