KUALA NERANG – Permintaan terhadap durian dari kawasan Pedu, dekat sini semakin meningkat dengan lebih 300 tan buah itu dijangka dapat dipasarkan pada tahun ini.
Kualiti raja buah dari kawasan dusun di situ dikatakan setanding dengan durian popular lain kerana mempunyai isi yang lemak manis, bertekstur halus serta aroma kuat dan menyelerakan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lebih 300 tan durian dari Pedu dijangka dapat dipasarkan iaitu bagi pengeluaran pada Jun dan Ogos ini.
Katanya, pengeluaran tersebut bagaimanapun masih tidak dapat menampung permintaan daripada peminat buah berkenaan.
“Ia masih tidak mencukupi walaupun sekarang ini kawasan penanaman telah ditambah kepada 280 hektar di 12 buah kampung sekitar Pedu.
“Sebelum ini ketika Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu diperkenalkan KEDA pada 2022, keluasan kebun durian di sini kira-kira 250 hektar sahaja dan kini diperluas sebanyak 30 hektar lagi,” katanya pada Pesta Durian@ Pedu 2025 di Kampung Kepala Batas, Pedu dekat sini semalam.
Kata Mahdzir, sebanyak 11,144 pokok durian kampung dan 7,851 lagi jenis klon varieti musang king, D24, duri hitam, udang merah dan beberapa jenis lagi ditanam di Pedu.
Selain Kampung Kepala Batas, raja buah itu turut ditanam di Kampung Padang Setol, Kampung Kuala Tekai, Kampung Pauh, Kampung Baru Seladang, Kampung Musa, Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Lubuk Merbau, Kampung Buluh, Kampung Banggol Pong, Kampung Pinang dan Kampung Tong Pelu.














