BAGAN DATUK – Pusat industri perikanan bertaraf dunia bernilai RM2 bilion iaitu Taman Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk (BDIFIP) yang akan dibangunkan secara berperingkat selama enam tahun bermula 2027 hingga 2033 di daerah ini bakal mewujudkan kira-kira 5,500 peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk tempatan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BDIFIP akan dibangunkan di atas tanah milik Menteri Besar Incorporated (Perak) (MB Inc) seluas 126.4 hektar di wilayah Baroh, Hutan Melintang, dekat sini.
“Saya secara peribadi akan memantau pelaksanaan dan kemajuan projek ini bagi memastikan ia benar-benar berjaya,” katanya ketika merasmikan Majlis Prapelancaran BDIFIP di sini hari ini.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara MB Inc dan Younchang Engineering & Construction (M) Sdn. Bhd. serta sesi menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Younchang Engineering (M) Sdn. Bhd. dan MingCheng Group Co. Ltd. yang terlibat secara langsung dalam projek tersebut.
Ahmad Zahid berkata, daerah itu telah lama dikenali sebagai salah satu pusat pendaratan ikan terbesar di Perak dan di kawasan Hutan Melintang sahaja mencatatkan lebih 400 buah kapal serta bot nelayan yang beroperasi aktif setiap hari. – KOSMO! ONLINE