CUTI kali ini benar-benar memberikan kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila saya berpeluang menjelajah Yogyakarta, Indonesia.
Perjalanan selama empat hari tiga malam itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti menghadiri majlis kenduri kahwin dengan adat Jawa sehinggalah menikmati keindahan pantai dan warisan budaya tempatan.
Pada hari pertama tiba di Yogyakarta, saya terus menuju ke Sawo, Sumber Agung, Jetis dan Bantul untuk menghadiri satu majlis perkahwinan.
Majlis ini sungguh istimewa kerana ia disambut dengan penuh adat istiadat Jawa.
Para tetamu berpakaian tradisional dan pasangan pengantin diraikan dalam upacara yang sarat dengan simbolik budaya.
Saya sangat kagum melihat keindahan busana pengantin, tarian tradisional serta susunan makanan Jawa yang unik serta enak.
Ini merupakan pengalaman pertama saya menyaksikan secara langsung adat perkahwinan tradisional masyarakat Jawa. Ia benar-benar membuka mata saya tentang kekayaan budaya mereka.

Keesokan harinya, saya dan rombongan meneruskan perjalanan ke Gumuk Pasir, satu kawasan yang unik kerana memiliki landskap seperti padang pasir.
Di sini, kami mencuba aktiviti sandboarding yang menyeronokkan, selain bergambar dengan latar belakang bukit pasir memukau.
Angin yang bertiup lembut dan suasana sepi menjadikan tempat ini sesuai untuk bersantai sambil menikmati pemandangan alam berbeza daripada biasa.
Hari ketiga, kami melawat kawasan Gunung Kidul yang terkenal dengan pantai-pantai cantik dan belum tercemar.
Kami singgah di Pantai Indrayanti dan Pantai Timang yang memiliki pemandangan sungguh mengagumkan dengan laut biru membentang luas serta ombak ‘memukul’ batu karang.
Selain itu, kami sempat melawat Taman Pinus Mangunan iaitu satu lokasi yang menenangkan dengan pokok-pokok pinus tinggi dan udara sejuk.
Di sini, saya dapat menikmati keindahan alam sambil bergambar di beberapa platform pandangan yang disediakan.

Ia merupakan tempat yang sangat sesuai untuk berehat seketika dari kesibukan bandar.
Hari terakhir kami di Yogyakarta diisi dengan lawatan ke pusat warisan budaya.
Kami bermula dengan melawat Kraton, istana rasmi Sultan Yogyakarta yang masih berfungsi sehingga hari ini.
Di sini, saya belajar tentang sejarah Kesultanan Yogyakarta dan melihat pelbagai artifak bersejarah.
Seterusnya kami ke Taman Sari iaitu bekas taman diraja yang mempunyai terowong bawah tanah, kolam diraja dan seni bina unik.
Sebelum pulang, kami tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah di Malioboro.
Kawasan ini terkenal dengan pelbagai barangan tempatan seperti batik dan makanan jalanan yang lazat.
Secara keseluruhannya, percutian ke Yogyakarta ini bukan sahaja menyajikan keindahan alam dan keseronokan, malah memperkayakan jiwa dengan pengalaman budaya yang mendalam.
Ia merupakan gabungan sempurna antara tradisi, alam dan keunikan tempatan yang sukar dilupakan.














