SHAH ALAM – Helah sindiket menyeludup bunga ganja dan syabu bernilai RM2.6 juta menggunakan sarung bantal dan bingkai gambar berjaya dipatahkan pihak berkuasa, baru-baru ini.
Rampasan dadah seberat 22.34 kilogram (kg) itu dilakukan bermula 18 hingga 29 April di Pusat Mel Dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.
Pemangku Pengarah Kastam Selangor, Tun Norlela Azumi Ramli berkata, berdasarkan siasatan mendapati kesemua dadah itu ditemui di dalam tujuh buah kotak kurier eksport.
Katanya, pihaknya mempercayai dadah berkenaan cuba dibawa keluar dari negara ini.
“Kita juga mendapati rampasan bunga ganja dengan berat keseluruhan 18.33 kg telah diletakkan dalam plastik dengan dbalut dengan sarung bantal.
“Ada juga beg plastik yang diletakkan dalam kotak lebih kecil dengan dilabelkan 100 peratus kapas premium,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan dadah jenis methamphetamine pula disembunyikan dalam empat bingkai gambar.
Tegas Tun Norlela, modus operandi sindiket juga adalah melakukan pengisytiharan tidak benar pada kotak-kotak berkenaan termasuk sebagai sebagai sarung kusyen, apron dan anak patung.
“Kesemua dadah itu telah disita dan dibawa ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE