fbpx

Gyokeres ugut mogok Sporting mungkir janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GYOKERES

LISBON – Spekulasi masa depan Viktor Gyokeres terus memuncak apabila penyerang Sporting Lisbon itu dikatakan sedia melancarkan mogok selepas kelabnya didakwa mungkir janji berhubung nilai perpindahan yang sepatutnya dipersetujui awal musim.

Gyokeres yang memiliki klausa pelepasan €100 juta (RM488 juta), dilaporkan bersetuju secara lisan dengan kelab untuk berpindah musim panas ini jika ada yang menawarkan sekitar €60 juta (RM292 juta) hingga €70 juta (RM341 juta).

Berdasarkan laporan, Sporting membuat pusingan-U dan hanya mahu melepaskan penyerang Sweden itu pada harga baharu sekitar €80 juta (RM390 juta).

“Banyak yang diperkatakan sekarang, kebanyakannya tidak benar. Saya akan bersuara bila tiba masanya,” kata Gyokeres di laman Instagram miliknya selepas timbul rasa tidak puas hati.

Presiden kelab, Frederico Varandas menegaskan tiada janji konkrit dibuat kepada pemain mahupun ejennya mengenai nilai perpindahan tertentu.

“Saya tak pernah janji akan jual dia pada €60 juta (RM292 juta). Ancaman dan tekanan daripada ejen hanya memburukkan keadaan,” katanya.

Varandas turut menjelaskan Sporting hanya memberi jaminan mereka tidak akan berkeras dengan klausa penuh €100 juta (RM488 juta) pada akhir musim, namun tiada nilai tetap ditetapkan kerana prestasi dan kecederaan boleh mengubah segalanya.

Penyerang berusia 26 tahun itu mencuri tumpuan selepas menjaringkan 43 gol musim ini dan kini menjadi sasaran utama kelab gergasi seperti Arsenal dan Manchester United.

Spekulasi itu dijangka terus panas sepanjang jendela perpindahan dengan Gyokeres semakin berang dan mahu mengambil tindakan drastik sekiranya rundingan terus gagal mencapai kata sepakat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI