ALOR GAJAH – Seorang wanita warga emas berusia 63 tahun nyaris maut selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu menyebabkan rumah separuh kekal berkeluasan 45×50 kaki terbakar hampir 60 peratus sebelum berjaya dikawal oleh pasukan bomba.
Menurut saksi yang juga anak saudara mangsa, Noorfatin Azwa Abdullah, 24, dia menyedari rumah mangsa dipanggil Mak Nyah itu terbakar selepas terdengar bunyi letupan kuat.
“Masa tu saya sedang tidur di ruang tamu rumah bersebelahan dan terdengar bunyi letupan kuat sebelum ternampak api marak dari arah rumah Mak Nyah.
“Mula-mula ingat orang bakar sampah sebab bunyi letupan kuat, bila tengok keluar, terkejut tengok rumah Mak Nyah terbakar dan saya nampak bahagian serambi yang mula-mula terbakar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujarnya, dia kemudian terus menghubungi pasukan bomba, manakala rakan sekerjanya yang menumpang tidur di rumah terus berlari ke rumah mangsa untuk menyelamatkan warga emas berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd.Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah bersama BBP Alor Gajah digerakkan ke lokasi dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 5.45 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE