PETALING JAYA – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyalurkan bantuan kilat sebanyak RM1,000 kepada setiap pelajar yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menyampaikan bantuan yang bertujuan meringankan beban keluarga mangsa itu semasa melawat mangsa yang terselamat di Hospital Gerik.
“Doa kami mengiringi semua mangsa agar diberi kekuatan dan kesembuhan segera. Semoga keluarga yang kehilangan terus tabah menghadapi ujian amat berat ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seramai 15 individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza di JRTB, Gerik awal pagi ini.
Difahamkan bas itu dalam perjalanan ke kampus universiti tersebut dari Jerteh, Terengganu.
Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, beliau dalam lawatan itu mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan YPM menziarahi para mangsa.
Katanya, hati beliau amat tersentuh melihat keadaan mangsa serta bertemu sendiri dengan ahli keluarga mereka di Hospital Gerik.
“Lebih memilukan apabila ada dalam kalangan mereka yang baru menerima khabar kehilangan insan tersayang sejurus sampai di tempat kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE