KEMAMAN – Seorang wanita warga emas yang mengalami masalah mental terpaksa hidup bersendirian dengan bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan di rumahnya di Kampung Batu 16 di sini.
Sepiah Ibrahim, 85, yang berada dalam keadaan uzur dan tidak terurus itu juga hanya ditemani beberapa kucing peliharaannya sejak lebih 40 tahun lalu.
Anak saudaranya, Mohamad Sulaiman, 68, berkata, ibu saudaranya yang mesra dipanggil Mek Su itu mengalami gangguan mental setelah kematian bayi puluhan tahun dahulu.
“Hidup Mek Su terus diuji apabila dia ditinggalkan pula oleh suami tidak lama selepas itu.
“Dia terpaksa bergantung kepada ubat bagi mengawal penyakit meroyannya sehingga kini,” katanya ketika ditemui di rumah Mek Su di Kampung Batu 16 di sini baru-baru ini.
Mohamad berkata, keadaan Mek Su kini semakin uzur dan hanya boleh bergerak dengan mengengsot ekoran menderita penyakit saraf berpunca daripada kemalangan motosikal yang dialami warga emas itu sewaktu usia muda.
Katanya, apa yang menjadi masalah apabila Mek Su tetap berkeras mahu tinggal bersendirian di rumah uzurnya itu walaupun berkali-kali diajak tinggal bersama keluarga lain yang terletak berhampiran kediamannya.
“Tidak sampai hati saya melihat keadaannya yang uzur, rumah tidak terurus dengan dipenuhi sisa makanan dan sampah.
“Buat masa ini, saya hanya mampu menjalankan tanggungjawab sebagai anak saudara dengan menghantar makanan, mengemas rumah dan membawa Mek Su mengambil ubat kemurungan dan penyakit tekanan darah tinggi di Hospital Kemaman di sini secara berkata,” katanya.
Mohamad berkata, dia juga amat bimbang keselamatan Mek Su yang tinggal bersendirian terutama pada waktu malam.
Jelasnya lagi, pernah berlaku kejadian seekor ular sawa memasuki rumah Mek Su dan menelan seekor kucing peliharaan warga emas itu beberapa tahun lalu.
“Harapan saya agar pihak berwajib dapat memujuk Mek Su untuk mendapat penjagaan yang lebih baik sesuai dengan usia dan tahap kesihatannya,” katanya.














