PETALING JAYA – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha semalam, pelbagai petua dikongsikan orang ramai untuk melembutkan daging korban dengan cepat.
Ada juga yang mendakwa bahawa merendam daging bersama sudu logam, terutama jenis ‘stainless steel’, boleh mempercepatkan proses melembutkan daging.
Bagaimanapun, Public Health Malaysia (PHM) dalam satu perkongsian di Facebook memaklumkan kaedah itu tidak mempunyai asas saintifik dan hanya sekadar mitos.
“Tips melembutkan daging yang tidak berkesan dan sekadar mitos adalah rendam dengan sudu, rendam dengan biji kurma, peram dengan gula atau madu, masak dengan batu atau syiling,” kongsi PHM.
Menurut portal kesihatan itu, antara kaedah yang sesuai digunakan untuk mempercepatkan proses melembutkan daging korban adalah rendam bersama hirisan nanas.
“Letak daging bersama hirisan nanas selama 15 hingga 30 minit sahaja. Jangan perap terlalu lama boleh menyebabkan daging jadi lembik atau hancur.
“Selain itu peram dengan betik muda, daun betik atau salut dahing bersama lemon atau cuka serta boleh menggunakan kaedah ‘slow cook’,” kata PHM.
Jelas PHM, buah nanas dan betik mengandungi enzim yang membantu memecahkan serat otot daging sekali gus menyebakan perapan bersama dia bahan tersebut menjadikan daging cepat lembut. – KOSMO! ONLINE