fbpx

CWC: Kane terus jadi sandaran Bayern

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE memikul harapan untuk membawa Bayern memburu penamat terbaik pada saingan yang menggunakan format terbaharu di Piala Dunia Kelab. - AFP

Oleh MUHAMMAD AFNAN FARIHIN SAMSURI

SELEPAS berjaya merangkul trofi Bundesliga pertamanya bersama Bayern Munich, penyerang England Harry Kane kini mengalihkan fokusnya kepada misi seterusnya menakluk pentas global di Piala Dunia Kelab (CWC) 2025.

Dalam dunia bola sepak moden yang dipenuhi dengan bakat menyerang, nama Harry Kane terpahat megah sebagai simbol kecemerlangan dan konsistensi.

Kecerdasan taktikal, etika kerja yang mengagumkan, dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai sistem permainan menjadikan Kane sandaran penting buat gergasi Bundesliga untuk memburu penamat terbaik.

Kejayaan Bayern menjulang gelaran Bundesliga musim lalu menyaksikan Kane berjaya menamatkan penantian panjang Kane untuk meraih trofi utama dalam karier selama 12 tahun sejak dia berkecimpung dalam bola sepak senior.

Kini, Kane sedang memburu trofi yang lebih berprestij dalam kariernya dengan berazam membantu Bayern merangkul kejuaraan Piala Kelab Dunia yang akan bermula pada 15 Jun ini.

“Saya fikir ia akan menjadi hebat. Piala Dunia Kelab akan menjadi unik, bermain jenis kejohanan utama ini dengan kelab anda berbeza dengan apa yang pernah dilakukan pada masa lalu, tetapi saya fikir ia akan menjadi pengalaman yang baik,” ujar Kane.

Bayern yang diundi dalam Kumpulan C bakal bersaing dengan kelab-kelab ternama seperti Auckland City, Boca Juniors dan Benfica dan berdasarkan kekuatan skuad kendalian Vincent Kompany, mereka dilihat tidak berdepan sebarang halangan besar untuk muncul juara.

Selain memiliki ‘mesin gol’ utama, Kane, skuad The Bavarians turut diperkuatkan dengan barisan pemain berprofil tinggi sebagai sandaran, antaranya Jamal Musiala, Leroy Sane, Dayot Upamecano dan Manuel Neuer, yang masing-masing mampu memberikan impak besar di posisi mereka.

Menerusi kebolehan serta pengalaman luas di pentas antarabangsa, barisan kesebelasan utama Bayern menjadikan mereka antara calon utama dan pilihan kegemaran untuk menjuarai Piala Dunia Kelab dalam format terbaharu.

The Bavarians pernah menjuarai trofi ini sebanyak dua kali dalam format lama pada tahun 2013 dan 2020, sekali gus membakar semangat mereka untuk sekali lagi memburu kejuaraan berprestij ini.

 

KUMPULAN C

Pasukan: Bayern Munich (Jerman)
Nama gelaran: The Bavarians
Jurulatih: Vincent Kompany
Kapten: Manuel Neuer
Tiket kelayakan: Kedudukan 4 tahun UEFA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI