fbpx
Dr. Faris dengan ikan gelamanya.

K2

Lepak pancing gelama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya bersama Mat dan Dr. Faris menyewa sebuah bot daripada seorang kenalan. Perjalanan dari pengkalan jeti Pasir Pekan di Kelantan ke destinasi memancing Telok Junor mengambil masa hampir 20 minit.

Dari jauh lagi kami dapat lihat ada beberapa buah bot sedang asyik memancing ikan gelama. Mencari lokasi untuk menjangkar sauh juga tidak sukar, hanya perlu mencari kawasan yang dalam seperti alur sungai atau drop-off. Biasanya, ikan gelama suka berkumpul di tempat yang dalam kerana di situ selalunya banyak makanan.

Setelah yakin dengan lokasi yang dirasakan ada banyak ikan gelama, kami mula melabuhkan sauh. Oleh kerana niat mahu lepak sambil memancing, kami tidak tergopoh-gapah untuk menyiapkan peralatan memancing.

Set pancing
Disebabkan kami memancing dari atas bot dan berada di tengah-tengah sungai, maka joran panjang yang biasanya kami guna untuk menebing tidak lagi diperlukan.

Joran pendek antara lima hingga ke enam kaki panjang jenis kelas ringan 4-10 paun (lb) atau 6-12lb menjadi taruhan kami.

Kami lebih gemar menggunakan kekili mendatar (spinning) saiz kecil antara 1000 hingga 2000. Tali utama yang halus antara lapan hingga 12lb dengan perambut serap kejutan (shock leader) 15 hingga 20lb.

Perambut bermata kail pula dalam 15 hingga 20lb dengan cara paternoster stail apollo, sama ada satu, dua atau tiga perambut anak, dan panjang bawah sejengkal sahaja.

Untuk mata kail pula, saiz 14 atau 16 sudah memadai. Di sini kami lebih gemar menggunakan udang pasir hidup ataupun yang sudah mati tetapi masih segar sebagai umpan.

Ini kerana, saiznya kecil dan seekor umpan udang sesuai untuk satu mata kail.

Pesta bermula
Setelah semua disiapkan, kami mula melabuhkan umpan. Baru hendak berbual, umpan Dr. Faris ditarik rakus. Joran melentur dan tali meluncur keluar dengan spontan, ingatkan ikan saiz kasar, rupanya hanya seekor ikan gelama.

Inilah keseronokan menggunakan set pancing ringan, ikan saiz kecil boleh terasa seperti ikan besar. Inilah kepuasan yang sebenar-benarnya.

Niat kami pada mulanya hendak melepak santai langsung tidak kesampaian apabila diligan bertubi-tubi oleh ikan gelama. Tak menang tangan kami membalas ‘patukan’ gelama.

Nak jamah juadah yang dibawa pun tidak sempat kerana asyik membalas patukan gelama. Ikan gelama yang kami pancing hari itu daripada jenis gelama bokok, gelama batang dan beberapa ekor gelama birat.

Kami gelar ikan ini ‘gelama emas 916’ kerana warnanya yang keemasan.

Getuan
Ikan gelama ini sememangnya terkenal sebagai spesies ikan yang bakal membuatkan pemancing sibuk kerana dikenali sebagai ‘raja getuan’. Jika labuhan bot berada di atas kumpulannya berkumpul, sebaik sahaja umpan diturunkan akan bermulalah joran anda bergetar-getar tanda umpan sedang digetunya bertubi-tubi

Bagi pemancing baharu, agak sukar menimbang tara waktu yang tepat untuk menyentap umpan. Akibatnya, umpan akan habis begitu sahaja. Itulah yang selalunya menerbitkan perasaan geram terhadap ikan ini, namun ia menyeronokkan.

Cara terbaik menangani masalah ini adalah terus memegang joran sebaik sahaja melihat
hujung joran bergetar dan angkat joran perlahan-lahan. Dengan ini secara automatik tali pancing anda akan menjadi tegang dan getuan seterusnya lebih terasa di tangan.

Jika terasa getuan-getuan yang kecil dan kerap, biarkan sahaja.

Sebaik sahaja terasa getuan yang sedikit kasar, anda seharusnya bersedia untuk menyentap joran. Sebaik terasa satu getuan yang kasar hingga hujung joran melentur, itu tanda umpan telah dikemamnya di dalam mulut.

Ketika itulah baru joran terus disembat dengan pantas dan baru anda boleh dapat gelama yang pandai mencuri umpan tadi.

Gelama emas 916
Selalunya ikan gelama ini aktif ketika perubahan arus di antara pasang ke surut atau surut ke pasang, namun ikut lokasi juga. Ada masanya, ikan gelama banyak ketika air tidak berarus.

Penting sekali, anda harus pantas memasang dan melabuhkan umpan, menarik serta mendaratkan ikan ketika waktu ia sedang frenzy, demi memastikan dapat tangkapan yang banyak.

Dalam banyak-banyak gelama yang dipancing, Mat telah terpancing seekor ikan gelama yang seakan-akan gelama batang, tetapi warna tubuhnya agak pelik iaitu keemasan seakan-akan emas 916.

Selepas terpancingnya gelama itu, ikan sudah mulai kurang mematuk umpan.

Selang 10 ke 15 minit sekali barulah ada getuan. Bila ikan sudah mula kurang memakan umpan, barulah kami boleh lepak santai-santai sambil menikmati juadah yang dibawa.

Kira-kira pukul 3 petang, kami menamatkan trip pancing santai ini dengan jumlah tangkapan ikan gelama yang agak memuaskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN