LUNCUR ais merupakan salah satu sukan yang popular terutamanya di negara-negara beriklim sejuk.
Namun, sukan itu turut mendapat sambutan hangat di negara beriklim tropika seperti Malaysia melalui pembangunan kemudahan ais tiruan.
Salah seorang anak muda yang aktif dalam sukan itu ialah Hawra Naaila Khairul Shazwali.
Dia mula mengenali sukan luncur ais sejak berusia tiga tahun selepas pertama kali menjejakkan kaki ke dalam gelanggang ais di Sunway Pyramid Ice, Subang Jaya, Selangor.
Ketika itu, dia hanya bermain secara suka-suka, namun pengalaman tersebut telah menanam minat dalam dirinya.
Pada usia sembilan tahun, minat anak kelahiran Selangor itu terhadap sukan berkenaan semakin mendalam selepas menonton video-video berkaitan luncur ais.
Terinspirasi dengan keindahan dan cabaran sukan tersebut, Hawra Naaila menyuarakan keinginannya untuk menyertai kelas secara serius kepada bapanya.
Sokongan daripada bapanya telah membuka jalan buat Hawra Naaila memulakan latihan secara lebih teratur bersama jurulatih, Siti Zahida Zaharan.

“Jurulatih saya banyak membantu dengan memberi tunjuk ajar dalam teknik-teknik asas dan lanjutan sukan luncur ais.
“Selain di dalam kelas, jurulatih juga sentiasa memantau kemajuan dan memastikan saya terus berlatih secara konsisten di luar waktu kelas.
“Bimbingan dan dorongan daripada jurulatih banyak membantu saya untuk terus maju dalam sukan ini,” katanya kepada K-Remaja.
Pelajar Sekolah Kebangsaan Cyberjaya itu pernah meraih naib johan kategori Gamma (9–10 tahun) di Skate Malaysia 2024 serta muncul johan kategori Freestyle 1 (9–10 tahun) di Putrajaya Ice Skating Championship 2024.
Saingan yang bakal ditempuh gadis cilik itu dalam masa terdekat ialah Skate Asia 2025 di Jakarta, Indonesia yang dijadual berlangsung pada Ogos ini.
Mengulas lanjut mengenai hobi tersebut, remaja berusia 11 tahun itu berkata, dia perlu menjalani latihan luncur ais secara konsisten pada setiap minggu.
Kebiasaannya, dia berlatih sekali seminggu dan kekerapan sesi latihan akan meningkat kepada dua hingga tiga kali seminggu apabila menjelang sesuatu pertandingan.
Latihan dijalankan di IOI City Mall yang mengambil masa kira-kira 30 hingga 35 minit perjalanan dari rumah Hawra Naaila di Kuala Langat.
“Setiap sesi latihan bermula dengan kelas bersama jurulatih selama 30 minit sehingga satu jam.
“Kemudian, saya akan melakukan latihan sendiri selama dua hingga tiga jam untuk mengulang dan memperbaiki teknik yang telah dipelajari.
“Sesi latihan biasanya dilakukan pada hari Sabtu. Ada masanya, saya turut berlatih pada hari Rabu atau Jumaat,” katanya.
Antara idola yang dikagumi oleh Hawra Naaila ialah Surya Bonaly dari Perancis iaitu wanita pertama yang melakukan gaya backflip di atas ais.
Sementara itu, Hawra Naaila berhasrat mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Musim Sejuk dan menjadi youngest Muslim ice skater bertanding di pentas tersebut.
Dia mempunyai masa kira-kira 10 tahun lagi untuk mencapai cita-cita tersebut.
Biarpun masih bersekolah, namun Harwa Naaila sentiasa berusaha mengimbangi antara minat dan pelajaran.
“Bagi mengimbangkan masa antara sekolah dan latihan, saya akan menyiapkan kerja sekolah seawal mungkin.
“Misalnya, saya akan siapkan ketika waktu rehat, transit di sekolah atau dalam perjalanan ke gelanggang ais,” ujarnya.














