PUTRAJAYA – Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuh kerjasama dalam subsektor tanaman, ternakan dan perikanan, serta meningkatkan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian melibatkan kedua-dua negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan mengenai kerjasama itu dibuat sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Thailand sejak 29 Mei lalu.
Lawatan beliau dimulakan dengan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, PYT Prof. Dr. Narumon Pinyosinwat, Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand. Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai perkara penting termasuk hasrat untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang kini berada pada peringkat rundingan akhir.
Mohamad turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dalam subsektor tanaman, ternakan dan perikanan, serta meningkatkan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian antara Malaysia dan Thailand.
Sebagai sebahagian daripada program lawatan, beliau turut hadir ke THAIFEX Anuga Asia, sebuah ekspo perdagangan makanan dan minuman (F&B) tahunan bertaraf antarabangsa.
Beliau telah merasmikan Pavilion Malaysia, yang menampilkan 137 syarikat dari Malaysia dan menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman bernilai RM17 juta, membuktikan daya saing dan keupayaan industri makanan negara di peringkat global.
Lawatan kerja diakhiri dengan kunjungan ke Kubota Farm, sebuah pusat inovasi pertanian yang dibangunkan oleh syarikat terkemuka Siam Kubota. – KOSMO! ONLINE