LIVERPOOL – Air mata Trent Alexander-Arnold gugur di Anfield selepas bintang itu merasakan sumbangannya bersama Liverpool cukup dihargai oleh penyokong-penyokong setia pasukan.
Alexander-Arnold yang sah meninggalkan pasukan secara percuma dan bakal diumumkan sebagai bintang baharu Real Madrid dalam masa terdekat mengakui, rasa cukup disayangi peminat dan semua itu tidak pernah dilalui sepanjang kariernya bersama The Reds sebelum ini.
Situasi dihadapi pemain pertahanan kanan berusia 26 tahun itu ketika seri 1-1 dengan Crystal Palace di Anfield dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin nyata berbeza berbanding sebelum ini yang menyaksikannya diejek oleh segelintir penyokong sendiri.
“Saya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan untuk melangkah keluar ke Anfield dan bermain buat kali terakhir buat kelab. Saya beritahu kepada pengurus (Arne Slot) dan beliau yakin untuk memasukkan saya, malah sambutan peminat juga begitu bermakna buat saya.

“Saya telah bermain beratus perlawanan untuk kelab ini, namun tidak pernah merasakan cukup dihargai seperti kali ini. Saya harap suatu hari nanti dapat mengiktiraf kerja keras dan apa yang saya lakukan untuk pasukan.
“Sejak berusia enam hingga 26 tahun saya bersama pasukan dan ia satu tempoh yang panjang di mana saya begitu gembira untuk setiap minit diberi peluang bermain. Ia satu penghargaan untuk jadi sebahagian daripada kelab ini,” katanya.
Bagi Slot, beliau cukup berterima kasih kepada Alexander-Arnold yang dianggap cemerlang sepanjang musim hingga membantunya meraih kejayaan pada musim sulungnya di EPL.
“Semua orang lihat situasi dilaluinya sebelum ini tetapi semua itu menggambarkan betapa sukarnya untuk meninggalkan pasukan seperti Liverpool.
“Itulah yang kami boleh lakukan, cuba cetuskan situasi sukar untuk mana-mana pemain untuk meninggalkan pasukan,” kata Slot. – AGENSI