KUALA LUMPUR – Kawalan keselamatan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) disifatkan berada pada tahap tertinggi, hasil pelaksanaan pelbagai langkah keselamatan menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Deputi Komisioner M. V. Srikumar Madhavan Nair berkata, antara pendekatan utama ialah penggunaan sistem pengimbas pintar berteknologi tinggi yang menggabungkan pengecaman wajah bersama kad identifikasi khas.
“Mesin pengimbas yang menggunakan sistem PAS ini mampu mengesan padanan wajah dengan kad. Jika maklumat tidak selari, pintu tidak akan dibuka dan akses tidak dibenarkan. Sistem ini juga memaparkan identiti individu, termasuk negara asal dan maklumat terperinci lain,” katanya kepada pemberita di KLCC.
Beliau menegaskan, hanya individu yang mempunyai urusan rasmi sahaja dibenarkan memasuki kawasan sidang, manakala orang awam akan diarahkan menggunakan laluan luar.
Selain itu, Srikumar berkata, pelbagai unit khas turut digerakkan bagi memperkukuh keselamatan, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Pengesan Bom (UPB), dan Unit Anjing Pengesan (K9).
Jelasnya, UPB dilengkapi peralatan khas untuk mengesan bahan radioaktif serta cecair berbahaya, manakala unit K9 digerakkan untuk mengesan bahan letupan dan bahan terlarang lain.
Srikumar berkata, rondaan berkala juga dijalankan bagi memantau sebarang potensi ancaman keselamatan dan semua pintu masuk ke kawasan sidang dilengkapi dengan mesin pengimbas bagasi untuk mengesan objek mencurigakan atau bahan terlarang.
“Setakat ini, tiada sebarang aduan atau insiden berkaitan keselamatan dilaporkan.
“Semua langkah yang diambil adalah demi memastikan tahap keselamatan maksimum, memandangkan lokasi ini menjadi tumpuan pemimpin dan delegasi dari pelbagai negara,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua prosedur keselamatan dikendalikan oleh anggota berpengalaman, bagi memastikan kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum sepanjang tempoh persidangan. – KOSMO! ONLINE