KUALA LUMPUR – Satu gelaran kejuaraan kini sudah dalam genggaman apabila dua beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bakal membuat perhitungan sesama sendiri di pentas final Malaysia Masters 2025, esok.
Pertembungan tersebut dijangka membakar semangat ribuan penyokong yang bakal membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil apabila kali terakhir Malaysia negara menjulang gelaran dalam acara beregu lelaki pada edisi 2013 menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah.
Kehadiran Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun di pentas final sekali gus menjamin kejuaraan milik Malaysia dalam kejohanan berstatus Super 500 tersebut
Aaron-Wooi Yik, yang juga juara dunia 2022, menempah tiket ke final selepas menundukkan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-19, 17-21, 21-15 dalam tempoh 64 minit dalam aksi separuh akhir hari ini.
Sebelum itu, Wei Chong-Kai Wun terlebih dahulu mara ke final apabila garang membenam cabaran gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-12, 21-14 dalam tempoh 31 minit.
Pertemuan esok dijangka berlangsung sengit memandangkan kedua-dua pasangan terikat 2-2 dalam empat pertemuan sebelum ini.
Kali terakhir mereka bertemu adalah di separuh akhir Indonesia Masters 2025, Januari lalu yang menyaksikan Wei Chong-Kai Wun mencatat kemenangan straight set 21-18, 21-15.-KOSMO! ONLINE