KUALA LUMPUR – Menumpahkan kasih buat anak angkat itu mulia namun berat amanah dan besar tangggungjawab yang perlu dihadapi.
Sedang melalui fasal serupa, namun kesukaran termahal sedang didepani penyanyi juga komposer, Hafiz Hamidun kini apabila anak angkatnya yang baru berusia lima tahun sudah mula bertanyakan mengenai ibu kandung.
Hafiz atau nama lengkapnya Muhammad Hafiz Hamidun, 40, berkata Hamdee keinginan untuk mengetahui identiti insan yang melahirkannya diluahkan selepas memasuki alam persekolahan.
“Hamdee kini sudah mula bertanya siapa ibunya. Fasa ini memang mencabar jadi saya perlu perlahan-lahan memberikan penerangan supaya dia faham situasi sebenar.
“Dia pernah bertanyakan siapa yang mengandungkan dan melahirkannya. Ini sangat sukar untuk saya jawab.
“Budak-budak sekarang ini tak bodoh, mereka sudah pandai dan boleh berfikir. Saya kena terangkan dengan jelas supaya dia faham dan tidak terasa hati,” katanya selepas majlis Seeking Rahma Gathering 2025, di sini, semalam.
Kata pejuang irama nasyid itu, perhatian yang harus diberikan sepenuhnya terhadap anak kecil itu sedikit sebanyak tidak membuka laluan mudah buatnya untuk kembali bergelar suami atau mendekati mana-mana wanita untuk dijadikan calon isteri.
“Buat masa ini saya mahu bagi fokus terhadap pembesaran dan perkembangan Hamdee dahulu sebelum memperkenalkan seseorang sebagai calon ibu.
“Saya belum sempat nak cari pengganti (isteri) kerana anak saya sedang membesar, semakin banyak perkara berkenaan statusnya mula disuarakan.
“Untuk berkahwin semula, itu bukanlah
keputusa mudah kerana saya tidak boleh memikirkan tentang diri saya sahaja, saya perlu melibatkan Hamdee mahu membuat keputusan mendirikan rumah tangga.
Terdahulu, pada 10 Mac 2020 Hafiz mengumumkan telah mengambil seorang anak angkat lelaki sebagai pelengkap hidupnya.
Sebelum ini dia pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Joy Revfa pada 2017 namun bercerai lima bulan kemudian. – KOSMO! ONLINE