BRASILIA – Sepasang suami isteri di Brazil yang telah mendirikan rumah tangga selama 74 tahun meninggal dunia pada hari sama, lapor portal berita MailOnline semalam.
Odileta Pansani de Haro, 92 dan suaminya, Paschoal de Haro, 94, menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka dua hari selepas ulang tahun perkahwinan ke-74 pada 17 April lalu.
Odileta meninggal dunia sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan), diikuti dengan Paschoal pada pukul 5 petang (waktu tempatan).
Pasangan itu pertama kali bertemu di dataran utama Votuporanga, barat laut Sao Paulo ketika masing-masing berusia 15 dan 18 tahun.
Mereka kemudian berkahwin pada April 1951 dan dikurniakan enam orang anak.
Menurut seorang waris, Paschoal mula berdoa agar dia dan Odileta meninggal dunia pada hari yang sama selepas lelaki itu disahkan menghidap kanser usus.
“Dia tidak dapat membayangkan untuk hidup tanpa isterinya. Doa Paschoal akhirnya dimakbulkan,” katanya. – AGENSI