PONTIAN – Seorang isteri tidak menyangka catatan di status aplikasi WhatsApp suaminya berpesan supaya anak-anak mereka bersatu hati, menghormati serta saling menyayangi antara satu sama lain merupakan pesanan terakhir sebelum dijemput Ilahi.
Norazlila Othman, 46, berkata, catatan itu ditulis suaminya, Allahyarham Mohd. Al-Hafiz Md. Yunos, 45, pada 16 Mei lalu ketika mereka bersama dua anak pulang ke rumah keluarganya di Temiang, Muar.
Katanya, dia tidak menyangka pesanan tersebut mempunyai penuh makna seolah-olah Allahyarham telah mengetahui dia akan meninggalkan keluarganya pada hari ini selepas ditemui mati lemas ketika memancing berhampiran Jeti Kampung Semaloi, Mersing awal pagi tadi.
“Alhamdulillah bersemadi tali pusat anak-anak kami, semoga kuat ukhwah dan bersatu hati serta saling menghormati dan menyayangi sama adik-beradik. Setelah disimpan bertahun lamanya (tembuni), kiralah umur ‘korang’, sayang semuanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jasa Indah, di sini, hari ini.
Menurut Norazlila, suaminya yang bertugas sebagai Imam di Masjid Jamek Bandar Pontian pergi ke Mersing pada petang semalam untuk memancing bersama seorang rakannya dari Pontian.
Jelasnya, hobi arwah suaminya adalah memancing dan kerap kali turun ke Mersing untuk melakukan aktiviti itu bersama rakan-rakanya.
“Arwah ada menghantar WhatsApp pada pukul 10 mengenai keberadaannya dan pukul 12 tengah malam ketika sampai ke lokasi memancing,” ujarnya dengan nada sebak.
Jenazah Allahyarham Mohd. Al-Hafiz akan dibawa balik ke rumahnya selepas asar sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Bandar Pontian, seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Bengkok, di sini. – KOSMO! ONLINE