LEICESTER – Penyerang Leicester City, Jamie Vardy menutup kariernya bersama pasukan itu dengan penuh bergaya apabila meledak gol ke-200 untuk penampilan kali ke-500 bersama kelab berkenaan.
Vardy meledak gol pembukaan pasukan itu ketika mereka membenam Ipswich Town 2-0 di Stadium King Power ketika itu merupakan aksi terakhirnya di hadapan penyokong The Foxes, selain dia juga tidak akan beraksi pada perlawanan terakhir musim ini menentang Bournemouth.
Biarpun berjaya mengumpul sembilan gol musim ini pada saingan Liga Perdana Inggeris, Vardy gagal membantu Leicester kekal di saingan utama dan bakal kembali ke Liga Kejuaraan musim depan.
Mengulas mengenai masa depannya, Vardy mengakui masih berminat untuk kekal dalam saingan tertinggi biarpun terdapat tawaran daripada beberapa kelab lain yang beraksi di Liga Kejuaraan musim depan.
“Ya, 100 peratus saya mahu kekal bersaing di peringkat elit. Tapi, dalam bola sepak anda tidak akan tahu apa yang boleh berlaku. Saya teruja dengan apa yang akan berlaku.
“Saya selalu beritahu bahawa saya akan teruskan sehingga kaki saya berkata ‘tidak’ dan ketika itu saya perlu berhenti. Namun, ketika ini kaki saya masih dalam keadaan baik,” jelasnya.
Sepanjang karier bersama Leicester, Vardy meraih gelaran EPL, Piala FA dan Perisai Komuniti selain muncul penjaring ke-15 terbanyak saingan liga tersebut, malah ketika kelab itu muncul juara EPL 2016, dia pernah meledak gol dalam 11 perlawanan berturut-turut. – AGENSI