TELUK INTAN – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyantuni lima anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam nahas di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di sini, Selasa lalu.
Keberangkatan baginda ke Hospital Teluk Intan diiringi Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Datuk Meor Redwan Mahayudin dan Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Annuar Zaini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Feisul Idzwan Mustapha; Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus.

Baginda yang tiba sekitar pukul 11 pagi itu kemudiannya diiringi ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan untuk melawat empat anggota FRU yang menerima rawatan di wad berkenaan.
Mereka ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39; dan Sarjan Mohd. Parih Ali, 44.
Sultan Nazrin turut berkenan meluangkan masa menziarahi seorang lagi anggota, Koperal Mohamad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, yang ditempatkan di wad biasa hospital sama.
Dalam lawatan itu, baginda turut menyantuni keluarga anggota yang terlibat sambil bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat serta mengurniakan sumbangan peribadi sebagai tanda prihatin. – KOSMO! ONLINE