BANGKOK – Penduduk wilayah Nong Khai, timur laut Thailand meminta penjelasan pihak berwajib berkaitan perbuatan dua peniaga yang menipu mereka dengan menjual telur ayam palsu, lapor portal berita Thaiger.
Seorang lelaki berumur 42 tahun, Jatuphon Phusri menghubungi agensi berita tempatan untuk melaporkan bahawa dia dan komuniti Non Phu Khao Thong di daerah Rattana Wapee telah ditipu oleh dua penjual telur.
Dua peniaga itu tiba di komuniti mereka dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti lasak (SUV) pada Selasa lalu dan menawarkan telur ayam murah untuk dijual.
Jatuphon berkata, pasangan peniaga itu menjual telur ayam besar pada harga cuma 130 baht (RM17) untuk setiap 30 biji.
Namun, apabila penduduk tempatan merebus telur, mereka mendapati putih telur mempunyai tekstur seperti jeli, manakala kuningnya mengeluarkan bau hapak.
Menurut Jatuphon, beberapa penduduk memulangkan telur dan meminta bayaran balik.
Penjual bersetuju untuk memulangkan wang dan segera meninggalkan tempat mereka berniaga. – AGENSI