fbpx

‘Hari-hari adik rayu nak balik, mengadu penat, lapar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Meena ketika menceritakan situasi adik perempuannya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja dalam sidang akhbar di Pejabat MHO di Kuala Lumpur, hari ini. Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang gadis berasal dari Sabah berusia 22 tahun, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas dibawa ke Kemboja awal Februari lalu oleh seorang rakan sekolah yang juga disyaki ejen sindiket.

Mangsa dikenali sebagai Caca yang sebelum ini menetap dan bekerja di Klang, Selangor sebagai jurubaiki telefon difahamkan telah diperdaya dengan tawaran kononnya untuk bercuti ke luar negara.

Menurut kakak mangsa, Meena, 30, selepas tiga hari adiknya tiba di Kemboja, mangsa mendakwa telah dipaksa untuk bekerja sebagai scammer di Phnom Penh dan lokasi pusat sindiket tersebut dikatakan berdekatan sebuah hospital di bandar itu.

“Masa adik saya pergi sana pada 6 Februari lalu, dia pergi dengan seorang lagi kenalan lelaki. Saya nampak dia pergi dengan kawan dia. Mereka satu sekolah.

“Awalnya adik kata pergi bercuti, lepas tiga hari adik hubungi saya semula maklum dia dipaksa bekerja di sana,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.

Meena turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan adiknya yang kini berada dalam keadaan sangat lemah, tidak cukup tidur, kelaparan dan tertekan.

“Hari-hari dapat berhubung dengan adik. Dia hanya cakap dia nak balik, dia lapar, dia penat sebab kena kerja 24 jam.

“Saya tak nak ada kaitan dengan kawan dia. Saya hanya nak adik saya balik. Balik dalam kadar segera,” rayunya.

Tambah wanita itu, sepanjang berhubung dengan adiknya melalui panggilan telefon mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Bajau agar tidak diketahui oleh ahli sindiket yang lain.

“Saya ada minta mereka pulangkan adik saya. Tapi katanya adik saya berhutang jadi mereka kena tahan dia di sana. Mereka juga minta saya tarik semula laporan polis yang dibuat pada 24 April lalu. Tapi saya tak nak, saya hanya nak adik saya balik.

“Semua keluarga sudah tahu keadaan adik, ayah sangat terkejut. Semua harap dia dapat pulang segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI